![]() |
Hajiji ketika berucap di majlis berkenaan. |
KOTA KINABALU: Umat Islam diseru menjadikan semangat hijrah sebagai titik perubahan sikap dan penghijrahan nilai ke arah pembentukan masyarakat berakhlak, berilmu dan bersatu demi membina Ummah Madani yang cemerlang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penghijrahan sebenar bukan sekadar berpindah tempat atau memperingati sejarah, tetapi melibatkan perubahan dari dalam diri, daripada lemah kepada kuat, mundur kepada maju serta berpecah kepada bersatu.
“Membangun Ummah Madani tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap dan kesanggupan melakukan penghijrahan nilai.
“Hijrah itu perjuangan, dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan sama ada dari sudut masa, tenaga, wang ringgit atau prinsip. Inilah semangat yang harus dihayati dalam menelusuri tahun baharu Hijrah 1447 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.
Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, semangat hijrah perlu menjadi panduan dalam membina masyarakat berteraskan keimanan, ilmu, akhlak, keadilan dan kemanusiaan selari dengan gagasan masyarakat Madani yang inklusif dan menyeluruh.
Menurutnya, umat Islam perlu bersedia menghadapi cabaran semasa termasuk ancaman Islamofobia, krisis kemanusiaan dan tekanan ekonomi global yang kian mencengkam akibat agenda kuasa besar Barat.
“Kita sedang berhadapan dengan cabaran terhadap tamadun ummah yang menuntut kekuatan dalaman dan iltizam kolektif. Kita tidak boleh lemah, berpecah atau hanya memandang dari jauh. Ini bukan isu kecil. Ia mampu mengubah sejarah dan geopolitik dunia,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus berhijrah menguasai ilmu, teknologi, membudayakan inovasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan ummah.
“Sambutan Maal Hijrah mesti menjadi pemangkin perubahan dan pembaharuan. Perteguhkan tekad dan azam baharu dengan menjadikan perubahan sebagai budaya kejayaan diri, keluarga, masyarakat dan negeri,” jelasnya.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 peserta itu turut menampilkan penceramah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai penceramah jemputan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)