KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 sebagai inisiatif memperkukuh produk tempatan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kempen bertemakan ‘Jom Beli Lokal’ itu turut memberi tumpuan kepada perluasan pasaran bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain menonjolkan kualiti barangan buatan tempatan.
Katanya, KBBM adalah antara langkah strategik kerajaan dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan rangkaian pasaran, bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa melalui program ‘Local to Global Retail.
"Kejayaan KBBM sebelum ini jelas apabila sektor perdagangan pengedaran negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion sehingga Disember lalu, peningkatan 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Selain itu, tiga platform e-dagang utama iaitu TikTok, Shopee dan Lazada turut menyumbang kepada kejayaan kempen ini apabila menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, Program Jelajah Karnival KPDN 2025 diteruskan tahun ini dengan penglibatan enam zon utama iaitu Selatan, Utara, Timur, Tengah serta Sabah dan Sarawak.
“Karnival ini berlangsung selama tiga hari di Puteri Harbour dengan pelbagai pengisian seperti pameran produk tempatan, seminar keusahawanan, jualan terus dan aktiviti kekeluargaan.
"Penganjuran jelajah itu juga adalah medan terbaik mempertemukan pengusaha tempatan dan pengguna secara langsung dalam memperkukuh kepercayaan terhadap jenama buatan Malaysia," katanya.
