![]() |
Armizan sewaktu sidang media selepas Taklimat Pematuhan Penetapan Harga bersama pemain industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. |
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan bermula 1 Julai ini bagi memantau pergerakan harga barangan dan perkhidmatan yang dinaikkan tanpa asas kukuh, susulan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
"Objektif utama Ops Kesan adalah untuk memantau pergerakan harga yang tidak berwajaran serta menguatkuasakan perundangan sedia ada.
"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan tahap pematuhan di kalangan peniaga dalam keseluruhan rantaian pengeluaran dan pengedaran,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Pematuhan Penetapan Harga bersama pemain industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Menurut Armizan, pihaknya akan mengeluarkan notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP kepada peniaga yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah.
"Kita juga akan menggunakan data yang diperoleh daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenal pasti syarikat-syarikat berkaitan semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop SST.
"Semua tindakan berasaskan maklumat rasmi yang diperoleh daripada agensi pelaksana," jelasnya.
Tambahnya lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal memberi justifikasi munasabah berkaitan kenaikan harga selepas notis dikeluarkan.
KPDN turut menasihatkan para pengguna agar menyalurkan aduan berhubung harga barang yang mencurigakan menerusi saluran rasmi kementerian.