Lebih RM848 juta perkasa modal insan Sabah sepanjang 2021 hingga 2024

 

GIMIK... Dr. Joachim (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkasakan modal insan dengan peruntukan melebihi RM848 juta bagi membiayai pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan kemahiran rakyat sepanjang 2021 hingga 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, langkah itu selari dengan usaha membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing khususnya dalam meneroka potensi sektor ekonomi biru yang kian berkembang.

“Tahun ini sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan lagi RM497.54 juta bagi melahirkan generasi kompeten, inovatif dan berintegriti,” katanya ketika merasmikan Sabah Blue Economy Skillfest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Menurut Hajiji, peruntukan sebanyak RM848.26 juta sebelum ini disalurkan menerusi empat saluran utama, termasuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah (RM227.1 juta kepada 7,483 penerima), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (RM324.1 juta kepada 13,640 penerima), serta Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) berjumlah RM164.14 juta kepada 210,918 penerima.

“Bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah pula mencatat peruntukan RM132.92 juta, memberi manfaat kepada 13,921 penerima,” ujarnya.

Beliau turut mengiktiraf kejayaan HRD Corp yang berjaya melatih 61,448 pekerja di Sabah pada tahun lalu dengan pembiayaan melebihi RM58.2 juta.

Katanya, pembangunan modal insan adalah keutamaan dalam dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sejajar dengan keperluan ekonomi baharu dan perubahan landskap global.

“Sabah kaya dengan sumber laut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat bersedia memanfaatkan potensi ini secara lestari dan berilmu,” tambahnya.

Skillfest 2025 yang berlangsung sebagai sebahagian daripada Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 – Sabah, menyasarkan 2,500 peserta, manakala penyertaan keseluruhan NTW tahun ini dijangka melebihi 67,000 di seluruh negeri.

Menurut Hajiji, penganjuran program itu juga kesinambungan kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang memberi impak global dan meletakkan Sabah sebagai pemain utama ekonomi biru serantau.

Beliau turut memuji kerjasama strategik antara HRD Corporation dan Sekretariat SMJ dalam memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat kepada semua lapisan rakyat.

Hajiji menyeru rakyat Sabah agar merebut peluang latihan yang disediakan dan berharap lebih banyak program seumpama itu diperluaskan ke seluruh negeri sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan insan.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew; Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai; Pengerusi Qhazanah Sabah merangkap ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama