Tidak wajar guna kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan umum kerjasama BN,PH - Armizan

Armizan.

PAPAR: Tindakan menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi mengumumkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan tidak wajar.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali selain mengatakan ia membabitkan persefahaman dua parti gabungan yang menimbulkan polemik politik yang tidak membina di negeri ini.

Katanya, keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan apabila ditanya dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau, baru-baru ini.

"Isu tersebut telah menjadi perhatian media dan rakyat di Sabah. Asyraf (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) dan Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) seharusnya teliti dalam tindakan mereka.

"Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing.

"Namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian tersebut mewakili konsensus semua gabungan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Malam Citra Tradisi bertempat di Langkah Syabas Resort, di sini, malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan Saifuddin dan Asyraf telah mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah, menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

Armizan turut mempersoalkan sama ada tindakan sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak.

"Diharapkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan.

"Keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti, tapi jangan gunakan platform Kerajaan Perpaduan untuk mengumumkan kerjasama yang melibatkan dua pihak.

"Kita juga perlu terima keunikan lanskap politik di negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan dengan PRN. Kalau kestabilan adalah matlamat, kita menghormati sesama kita.

"Kapal GRS mungkin dilihat kecil oleh orang tertentu. Namun dengan izin Tuhan, kapal kecil ini punyai muatan yang mencukupi untuk sampai ke destinasi," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama