![]() |
KOTA KINABALU: Mana-mana parti atau gabungan politik khususnya di peringkat pusat digesa untuk tidak mencampuri urusan melibatkan jalinan kerjasama parti di negeri Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Penganalisis politik, Ab Jalil Backer berkata langkah tersebut merupakan cara paling berkesan bagi mengurangkan politik kenegerian dalam PRN17 Sabah yang akan datang.
"Ini membolehkan UMNO-Barisan Nasional (BN) meneroka peluang mengadakan kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) manakala Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Jika terjadi pertarungan dua blok ini BN-WARISAN dan PH-GRS, maka isu parti lokal akan menjadi tidak relevan.
"Selebihnya, pemimpin UMNO di Kuala Lumpur sewajarnya kurang bercakap secara terbuka mengenai kerjasama dalam PRN Sabah kerana ia menjadikan pemimpin UMNO Sabah dalam keadaan defensif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi hantaran di laman media sosial Facebook, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan menerusi satu kenyataan bersama mengumumkan kerjasama BN dan PH.
Susulan itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan pihaknya tidak menolak kemungkinan GRS bertanding secara solo.
Hajiji menegaskan parti tempatan Sabah seharusnya menjadi tunjang kepada kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat negeri ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan hasrat agar GRS turut serta dalam kerjasama menghadapi PRN17 bersama PH dan BN.