Pengundi di Sabah dan Singapura ada persamaan, kata pemimpin UMNO Sabah

Salleh.

KOTA KINABALU: Walaupun berbeza dari segi geografi, budaya dan sistem politik, pengundi di Sabah dan Singapura berkongsi satu persamaan penting iaitu mereka semakin bijak dan rasional dalam membuat pilihan, kata pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh berkata demikian ketika mengulas kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 yang menyaksikan parti itu mengekalkan kuasa dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi, walaupun rakyat berdepan cabaran kos sara hidup.

“Keputusan itu menunjukkan bahawa dalam suasana tidak menentu, rakyat cenderung memilih kestabilan dan kepimpinan yang diyakini.

"Pengundi semakin fokus kepada hasil dan tindakan, bukan lagi terpesona dengan janji atau personaliti semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengundi kini menilai sejauh mana sesebuah parti mampu menawarkan hala tuju yang jelas serta membina kepercayaan melalui kerja yang terbukti, bukan sekadar retorik politik.

Salleh menegaskan bahawa landskap politik moden menuntut pemimpin yang bukan sahaja popular, tetapi juga mampu bekerjasama dalam satu pasukan mantap bagi menangani isu rakyat secara menyeluruh termasuk peluang pekerjaan, kemudahan asas, dan pembangunan mampan.

“Pengajaran daripada Singapura ialah rakyat mahu pasukan yang stabil, berwibawa dan boleh diyakini, bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi melalui kerja yang terbukti.

"Masa depan politik Sabah bergantung kepada keupayaan kita membina kepercayaan itu dengan tindakan, bukan sekadar janji.” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama