Mangsa serangan buaya di Sipitang ditemui tidak sempurna

Foto ihsan: Bomba.

SIPITANG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan, ditemui meninggal dunia hari ini selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di Sungai Megalong, Sipitang.

Mangsa, Punggut Madin, 52 tahun, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 12.20 tengah hari, pada jarak lebih kurang 2.3 kilometer dari lokasi terakhir beliau dilihat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery, insiden berlaku ketika mangsa bersama rakan-rakannya sedang menarik pukat di sungai tersebut.

Saksi kejadian memaklumkan bahawa mangsa telah disambar buaya dan hilang dari pandangan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta penduduk kampung, turut menjalankan pencarian menyusuri sungai sejauh 8 kilometer menggunakan bot.

“Sebaik menerima maklumat penemuan, pasukan menerbangkan dron untuk memastikan tiada ancaman lain sebelum memasuki anak sungai bagi mengesahkan identiti mangsa,” katanya.

Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR yang bermula pada 1 Mei lalu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang hari ini"katanya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama