![]() |
Jeffrey Kitingan semasa membacakan teks ucapan perasmian Hajiji. |
KOTA KINABALU: Lebih ramai petani harus menceburi penanaman koko dan memperluaskan 3,000 hektar tanah yang sudah diusahakan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata beliau inginkan perkara tersebut berikutan terdapat peningkatan permintaan antarabangsa bagi produk koko Malaysia, dengan nilai eksport mencapai rekod RM15.06 bilion tahun lalu, tiga kali ganda berbanding tahun 2023.
“Kita bangga bahawa Sabah telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.
“Saya gembira bahawa kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut telah mendapat manfaat,” katanya dalam teks ucapan beliau yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan pada Majlis Makan Malam Koko yang diadakan sempena dengan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2025 (MICF 2025), pada Isnin.
Hajiji berkata ini adalah satu acara penting bagi Sabah kerana mencerminkan peranan besar negeri dalam industri koko Malaysia dan beliau memuji Lembaga Koko Malaysia atas usaha menggerakkan kejayaan ini.
Beliau berharap Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) akan membawa manfaat yang berkekalan, dari perkongsian dan pelaburan baru kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah, bukan sahaja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan pengeluar koko, usahawan dan PKS tempatan, institusi akademik, dan kepada penaja dan rakan kongsi, baik dari Malaysia mahupun luar negara, yang telah menjayakan MICF 2025 ini," ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasin.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)