21 peserta rebut Juara Manangon, Monusuya, Roisol pada 25 Mei ini

Pengerusi Program Pertandingan Manangon, Monusuya, Roisol Digital dan Bersemuka sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, Rayner F. Udong.


KOTA KINABALU:  Seramai 21 peserta akan berentap merebut gelaran juara dalam Pertandingan Manangon, Monusuya, Roisol Digital dan Bersemuka sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Hongkod Koisaan pada 25hb Mei ini.

Pengerusi pertandingan, Rayner F. Udong berkata selepas membuat proses pengadilan selama tiga hari, jawatankuasa pertandingan Manangon, Susuyan, Roisol telah memilih 21 orang peserta untuk bertanding di peringkat akhir yang disiarkan secara live di FB dan TVsabah.

"Mereka terdiri daripada 21 peserta iaitu tujuh murid Tahap 1, tujuh lagi murid Tahap 2 serta tujuh peserta yang merupakan pelajar sekolah menengah yang berjaya mara ke peringkat akhir selepas berjaya melepasi proses penilaian.

"Murid yang terpilih ke peringkat akhir perlu diiringi oleh seorang guru dari sekolah masing-masing dan semua rakaman video bercerita dikongsikan di FB dan TVsabah untuk tontonan awam.

"Penyertaan pertandingan Manangon, Monusuyan dan Roisol dijalankan secara rakaman video bercerita dalam durasi 3 hingga 5 minit (Tahap 1),  1 hingga 7 minit (Tahap 2) yang dihantar secara atas talian (online) kepada jawatankuasa pertandingan," katanya.

Menurut  Rayner, majlis perasmian penutupan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey Datuk Kitingan merangkap Pengerusi Induk Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

"Johan bagi kategori Sekolah Rendah Tahap 1, Tahap 2 dan Sekolah Menengah masing-masing akan merangkul hadiah wang tunai RM1,000 dengan trofi, jambangan bunga serta sijil penghargaan.

"Naib johan pula bakal memenangi hadiah RM800 beserta trofi, jambangan bunga dan sijil dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah RM500 bersama trofi, jambangan bunga dan sijil.

"Sementara itu, empat pemenang saguhati juga masing-masing akan membawa pulang RM100 dengan trofi, jambangan bunga dan sijil," dedah beliau kepada pemberita Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, hari ini.

Mengulas lanjut ujar beliau, pertandingan Manangon,  Monusuyan dan Roisol penting untuk memulihara, mengembang dan menguasai Bahasa Ibunda dan dialek-dialek sukuan lain sebagai saluran menyemai semangat cinta bahasa tersebut dalam kalangan generasi muda.

"Langkah ini juga untuk menggalakkan golongan  muda untuk menguasai pertuturan dan penulisan dalam Bahasa Kadazandusun yang piawai, berasaskan dialek Bundu-Liwan dan yang diperkayakan dengan dialek-dialek yang lain," katanya.

Beliau berkata, menyedari hakikat itu, KDCA menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Institusi-Institusi Pengajian Tinggi dan Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) bagi mengorak langkah ke hadapan untuk menganjur Program Pertandingan Manangon,  Monusuyan dan Roisol dalam Bahasa Kadazandusun bersempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah setiap tahun.

"Pertandingan Manangon telahpun diadakan sejak tahun 2018,  manakala Monusuyan dipertandingkan bermula pada tahun 2021 dan Pertandingan Roisol dilaksanakan mulai tahun ini.

"Pada tahun 2023, 2024 dan tahun ini 2025, Jabatan Pendidikan telah terlibat secara langsung. Justeru itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah telah dilantik dalam mesyuarat AJK Pelaksana sebagai Pengerusi Bersama demikian juga dengan Timbalan Pengerusi, Jabatan Pendidikan juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bersama," jelas beliau.

Tambah beliau, program pertandingan Manangon dan Monusuyan merupakan saluran terbaik dan efektif bagi mempastikan bahasa-bahasa etnik, khususnya rumpun Bahasa Dusunik, Murutik dan Paitinik (DMP) dapat terus dipelihara dan dikembangkan agar tidak pupus ditelan zaman.

Hasrat tersirat dalam pertandingan tersebut ialah membangkitkan semangat generasi masyarakat asal Sabah untuk mencintai bahasa ibunda mereka masing-masing, selain menjadi wadah bagi memperdengarkan cerita rakyat kepada generasi muda untuk mendekati pengisahan lampau dalam usaha melestari dan membukukan cerita lama. 

Dengan program itu, katanya, bakat dan kreativiti dapat dicungkil mengikut pengisahan asli dalam menghayati cerita dongeng, karya tradisional, hasil karya sendiri dan kisah benar bagi membantu mempelajari bahasa ibunda serta memperbetulkan penggunaan tatabahasa Bahasa Kadazandusun.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama