‘Tidak pernah terbayangkan’ - Marsha Milan terharu wajah terpampang di Billboard Times Square

Wajah Marsha Milan di Billboard Spotify Times Square, New York. 


PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Marsha Milan Londoh, 39, meluahkan rasa terharu apabila wajahnya terpampang di papan iklan Billboard Spotify di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS). 

Menurutnya, pencapaian itu mengingatkan beliau akan cabaran besar yang dihadapi sejak mula menceburi bidang muzik.

Marsha, yang juga berasal dari Tamparuli, Sabah, mengakui perjalanan sebagai penyanyi wanita dari Borneo bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, detik istimewa ini dianggap sebagai satu penghargaan besar atas usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan.

“Melihat diri saya di papan iklan di Times Square, New York adalah sesuatu yang melebihi segala impian saya. 

“Sebagai seorang penyanyi wanita dari Borneo, perjalanan ini tidak selalu mudah, tapi momen seperti ini mengingatkan saya kenapa saya bermula.

“Terima kasih #SpotifyEQUAL kerana membenarkan saya menjadi sebahagian daripada kempen ini, dan terima kasih Spotify Asia kerana mengangkat suara kami ke peringkat dunia,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam hantaran yang sama, penyanyi lagu Hening Rindu itu turut memberi kata-kata semangat kepada rakan seperjuangan dalam industri muzik untuk terus berkarya.

“Kepada semua wanita dalam muzik, suara anda sangat bermakna dan kita perlu mendengar lebih banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, ramai rakan selebriti dan peminat tampil memberikan ucapan tahniah kepada Marsha atas kejayaan tersebut melalui ruang komen pada hantarannya di Instragam. 

“Tahniah shima!,” tulis Sherry Al Hadad. 

“Sangat bangga!,” kata penyanyi, Fanzi Ruji

“Tahniah kakakku,” ucap penyanyi asal Sabah, Elica Paujin.

Inisiatif Spotify EQUAL adalah program global yang memberi pengiktirafan kepada artis wanita dari seluruh dunia, memperkasakan karya mereka dan mengangkat suara mereka di peringkat antarabangsa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama