Sabah FC kembali duduki tiga teratas Liga Super, tewaskan PDRM FC

Saddil (kiri), Dominic (kanan), raikan kemenangan pasukan Sabah FC menentang PDRM di Stadium Likas, semalam. (Foto ihsan Sabah Football Club)


KOTA KINABALU: Kelab bola sepak Sabah FC terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super selepas menewaskan PDRM FC dengan keputusan tipis 1-0 di Stadium Likas, di sini semalam.

Kemenangan itu menyumbang tiga mata berharga kepada The Rhinos, menjadikan kutipan keseluruhan menjadi 39 mata.

Ini sekaligus membolehkan mereka memintas Kuching City FC (36 mata) selepas masing-masing selesai 22 perlawanan, sekali gus mendekatkan peluang untuk layak ke Kejuaraan Kelab ASEAN musim hadapan.

Pasukan bimbingan Eddy Gapil yang diketuai Faith Obilor sebagai kapten terus menunjukkan konsistensi selepas kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC pada perlawanan sebelumnya. Namun, kali ini Sabah turun tanpa penyerang utama, Ifedayo Olusegun, dalam barisan kesebelasan utama.

Sebaliknya, skuad kendalian Martin Stano yang berjaya membawa pulang satu mata dalam aksi seri 2-2 menentang Terengganu FC sebelum ini, tampil lebih yakin ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Dominic Tan, kapten Sabah FC, muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-42, menewaskan penjaga gol PDRM FC, Hakeem Hamidin.

Sabah hampir menambah jaringan melalui Saddil Ramdani, namun gol tersebut dibatalkan oleh bantuan video pengadil (VAR), menjadikan keputusan kekal 1-0 hingga tamat perlawanan.

Sabah kini bersedia untuk menentang Kedah Darul Aman FC di Alor Setar pada 12 April sebelum menutup tirai musim ini dengan aksi terakhir menentang Perak FC di Stadium Likas pada 20 April.

Sementara itu, PDRM dijadualkan bakal menentang Terengganu FC di Selayang (12 April) sebelum melengkapkan kempen musim 2024/25 berdepan Selangor FC di Petaling Jaya pada 19 April.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama