![]() |
Shafie. |
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan tindakan menandatangani surat sokongan untuk permohonan dokumen pengenalan diri hanya memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat.
Menurutnya, tindakan beliau mengeluarkan surat sokongan semasa menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu merupakan tanda belas ihsan pihaknya dalam membantu rakyat khususnya yang dari kawasan kampung.
"Jangan tengok apa kandungan surat itu. Selaku pemimpin, orang datang dari kampung , datang dari Kudat, Keningau, Tongod minta surat sokongan untuk buat kad pengenalan mereka.
"Macam mana saya mahu tahu (sekiranya) mereka ini orang Sabah? Macam mana saya tahu mereka ini pendatang atau bukan pendatang? Pihak yang berkuasa adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan saya.
"Takkanlah saya tolak orang datang? Tolonglah, ini berlaku di Sabah, ada anak-anak Sabah disini. Kerana itu kita (pernah) buat satu program (secara bergerak) semasa dengan Tun Richard Malanjum (bekas Ketua Hakim Negara) untuk (bantu) mereka mendaftar (dokumen pengenalan diri)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Sebelum ini, satu hantaran berkaitan isu surat sokongan permohonan MyKAS seorang individu dari Semporna yang didakwa telah diluluskan oleh Mohd Shafie tular di laman media sosial sehingga menimbulkan reaksi dari pelbagai pihak.
Susulan itu, JPN dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menegaskan tidak meluluskan sebarang permohonan mengenai dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya, walaupun disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, JPN berkata setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat-kuasa.