PRN17: Kerjasama tidak boleh ‘dipaksa’, kata pemimpin GRS

Armizan, ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Majestic Ballroom bertempat di 10 Star Cinemas Parklane City Benoni, di sini, hari ini.

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyelar kenyataan segelintir pemimpin politik yang 'memaksa' Sabah harus mengikut model kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) berdasarkan pembentukan model kerjasama di peringkat Persekutuan.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata teras kepada sebarang pembentukan model kerjasama seharusnya melibatkan kesediaan dan keserasian oleh semua pihak terlibat terutamanya parti politik seperti yang dilaksanakan di Johor dan Sarawak.

Katanya, tindakan meletakkan faktor dan syarat lain sebagai pertimbangan utama tidak akan memastikan kerjasama yang dibentuk akan berjaya serta stabil.

"Ini parameter utama yang patut dijadikan teras perbincangan dan pertimbangan kerjasama. Ini pilihan raya memilih kerajaan negeri, dan bukannya pilihan raya memilih kerajaan Persekutuan.

"Lanskap semasa politik negeri perlu diambil kira. Tidak boleh 'dipaksa' bahawa kerjasama perlu menepati sepenuhnya model kerjasama di peringkat kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, ini kerana Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh beberapa politik pada Disember 2022 adalah kerjasama untuk membentuk kerajaaan di peringkat Persekutuan.

"Tidak ada dalam MoU itu mewajibkan model yang sama diikuti di peringkat negeri.

"Tambahan pula, kerajaan negeri Sabah hari ini adalah model Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri yang terbentuk setelah penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

"Ia dibina atas muafakat Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan (GRS-PH Plus) selepas ada pihak yang gagal meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebelum itu.

"Sekiranya kita boleh menghormati model kerajaan negeri di Sarawak dan Johor yang berbeza dengan komposisi Kerajaan Perpaduan Persekutuan, mengapa perlu kita paksa Sabah untuk mengikut sepenuhnya komposisi yang wujud di Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Majestic Ballroom bertempat di 10 Star Cinemas Parklane City Benoni, di sini, semalam.

Semalam, media melaporkan seorang pemimpin UMNO Sabah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat percubaan memisahkan BN dan PH dimana kedua-duanya merupakan tunjang kerajaan Madani di peringkat kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, beliau menegaskan semua pihak harus menghormati model kerjasama yang telah dibentuk dalam sesebuah kerajaan negeri termasuk Sabah.

"Betul atau tidak kena ingat selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani berubah komposisi penubuhan kerajaan negeri sebab ada orang yang cuba untuk apa 'tebuk atap'.

"Jadi inilah komposisi model Kerajaan Perpaduan di Sabah sekarang yang dibentuk selepas Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah GRS-PH Plus. Jadi kita kena hormati itulah model kerajaan perpaduan di peringkat negeri Sabah," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama