TAWAU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah perlu terus menjadi jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat, terutama dalam menyampaikan agenda pembangunan serta menangani permasalahan setempat.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta sangat penting dalam membangunkan negeri ini.
Katanya, UPPM di setiap kawasan diminta memainkan peranan penting dalam mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
“UPPM adalah tulang belakang kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mereka adalah jentera utama dalam memastikan suara dan kebajikan rakyat didengar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Berbuka Puasa UPPM Negeri Sabah bersama syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, di sini, pada Selasa.
Suryady turut mengingatkan bahawa fungsi utama UPPM bukan sahaja menyampaikan dasar kerajaan tetapi menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam menyalurkan maklum balas berkaitan isu setempat.
Menurutnya, UPPM perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti permasalahan di kawasan masing-masing agar penyelesaian dapat dicari dengan lebih berkesan.
“Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan rakyat, tetapi keberkesanannya bergantung kepada peranan UPPM dalam memastikan ia disampaikan dengan berkesan.
“Jika UPPM tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menjejaskan pentadbiran serta menyebabkan kepincangan dalam usaha membangunkan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua UPPM di Sabah terus memperkukuhkan peranan mereka dan memastikan segala usaha kerajaan negeri disampaikan kepada rakyat dengan jelas dan berkesan.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri, UPPM, dan sektor swasta adalah kunci utama dalam memastikan arus pembangunan negeri Sabah terus bergerak ke hadapan,” katanya.