TAWAU: Seorang lelaki boleh dianggap ‘anak derhaka’ selepas cuba mengugut bunuh ibu bapanya menggunakan parang di Kampung Serudong Baru, Jalan Quoin Hill, di sini.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 30 tahun itu membawa padah apabila dia ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada 15 Januari lalu di Kampung Serudong Baru, Jalan Quoin Hill, di sini.
Katanya, suspek dipercayai mengacu parang ke arah ibu bapanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan yang menyebabkan ketakutan dalam kalangan ahli keluarganya.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar melaporkan sebarang insiden keganasan rumah tangga atau ancaman jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.