KALABAKAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu dipercayai terbabas dan jatuh ke gaung sedalam 30 meter di Batu 38 Jalan Kalabakan, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 9.10 pagi.
Jemishin berkata, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 165 kilometer dari Balai Bomba Tawau untuk menjalankan operasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda telah terbabas sendiri sebelum jatuh ke dalam gaung di lokasi kejadian.
"Pasukan operasi mendapati terdapat seorang mangsa di dalam kenderaan tersebut dan usaha mengangkat mangsa terus dilakukan menggunakan ‘Jungkin Stretcher'
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejaidan akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
"Pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 12.30 tengah hari setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya