Kerajaan negeri salur bantuan sehingga RM10,000 kepada sekolah terjejas banjir

Arifin ketika ditemui media di dewan kesenian islam Membakut sewaktu melawat mangsa banjir pada Selasa.


KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah, termasuk Membakut, Beaufort, Tenom dan Keningau.

Bantuan tersebut bertujuan membantu sekolah yang mengalami kerosakan infrastruktur dan kehilangan peralatan akibat bencana itu. 

Setiap sekolah yang terkesan bakal menerima peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.  

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, yang juga Exco Pendidikan Negeri, berkata peruntukan tersebut akan disalurkan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah. 

“Semua sekolah yang terjejas di daerah terlibat akan menerima bantuan daripada kerajaan negeri melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

"Bantuan ini bertujuan untuk keperluan gotong-royong, pembersihan, pengemasan semula atau menggantikan apa-apa yang perlu bagi memastikan keselesaan murid-murid di sekolah," katanya.  

Arifin berkata demikian di dewan kesenian islam Membakut sewaktu melawat mangsa banjir pada Selasa.

Jelasnya, dana itu akan digunakan untuk proses pembersihan, baik pulih kemudahan asas serta menggantikan peralatan yang rosak.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memastikan sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa sebaik sahaja keadaan kembali pulih.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama