Konvoi Jelajah Iftar Ramadan Depot Imigresen Tawau 2025

Konvoi DIT menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Ar Raudhah, Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Foto | Ihsan DIT.

TAWAU : Depot Imigresen Tawau (DIT) mencipta kelainan bagi menyemarakkan semangat Ramadan dengan mengadakan konvoi bermotosikal dalam menjayakan Program Jelajah Iftar Ramadan DIT 2025 baru-baru ini. 

Konvoi disertai seramai 20 pegawai dan kakitangan itu diiringi sebuah van bergerak dari DIT ke lokasi pertama di Tanjung Batu Laut Tawau dan menyerahkan barangan keperluan makanan dan juadah berbuka kepada pelajar Maahad Tahfiz Irsyadul Musthofa. 

Pasukan konvoi seterusnya berkunjung ke Kampung Jawa menziarahi seorang pegawai DIT, PI Awang Mahali yang mengalami masalah kesihatan dan  menyampaikan sedikit sumbangan kewangan bagi meringankan beban perbelanjaan menjelang aidilfitri. 

Jelajah diakhiri dengan mengagihkan barangan keperluan harian dan duit raya kepada anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Ar Raudhah, Batu 4 Jalan Apas, Tawau. 

Semua sumbangan adalah daripada Kelab Kebajikan dan Rekreasi Depot Imigresen Tawau dan telah disampaikan oleh Komandan DIT, PPI Ash Rizal Abdul Rahman yang mengetuai jelajah.

Sementara itu, Pengerusi kelab TPPI Mazlan Makmur berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan menyemai semangat perpaduan dan berkongsi rezeki di bulan mulia.

"Perkongsian rezeki ini diharap dapat memberi sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada semua penerima bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini,"  katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama