KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas minuman keras, rokok dan barangan elektrik seludup bernilai keseluruhan RM878,858 dalam empat serbuan berasingan awal bulan ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaludin berkata, semua barangan berkenaan dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan diisytiharkan sebagai barangan lain.
Serbuan pertama dilakukan pada 4 Mac di Pelabuhan Sepanggar, di mana pemeriksaan ke atas tiga kontena mendapati ia mengandungi 41,472 liter minuman keras pelbagai jenis yang tidak berkastam dengan cukai terlibat berjumlah RM642,981.90.
"Hasil pemeriksaan secara tailboard mendapati sejumlah karton minuman keras jenis beer dimuatkan di dalam kontena tersebut.
"Siasatan awal mendapati bahawa manifest bagi kontena telah diisytiharkan sebagai peanut canned, canned food stuff dan fish luncheon," katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini.
Pada hari yang sama sekitar jam 2 petang, pasukan operasi menyerbu sebuah premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan 751.16 liter minuman keras pelbagai jenis yang melanggar Akta Kastam 1967, dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,144 dan cukai terlibat sebanyak RM6,723.
"Hasil pemeriksaan ke atas premis-premis yang diserbu, pasukan menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tidak berkastam," katanya.
Dua lagi rampasan dilakukan pada 5 dan 7 Mac lalu di sebuah stor di kawasan ladang dan pasar tamu Brumas.
Pemeriksaan menemui 26,726 batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan RM25,015.
Manakala rampasan keempat dilakukan pada 6 Mac di Terminal Bas Ekspres Lahad Datu, membabitkan 216 gulung wayar dan lampu LED pelbagai jenama yang disyaki barang larangan bernilai RM5,060 termasuk cukai.
Menurut JKDM, modus operandi yang digunakan adalah melalui pengikraran palsu, dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Jabatan itu turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.