Beri anak muda peluang terajui kepimpinan kampung - Hafiz Mustadi





KOTA BELUD: Golongan belia perlu diberikan peluang untuk menerajui kepimpinan di peringkat kampung, termasuk jawatan Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurut Ahli Dewan Belia Sabah N.9 Tempasuk, Hafiz Mustadi sudah tiba masanya kepimpinan kampung tidak hanya dimonopoli oleh golongan lebih berusia, sebaliknya turut melibatkan anak muda yang mempunyai idea segar, bertenaga, dan lebih dekat dengan keperluan semasa masyarakat.

“Ramai anak muda yang berkelayakan, berpendidikan dan bersemangat untuk berbakti kepada kampung mereka. Namun, mereka sering diketepikan atas alasan kekurangan pengalaman. Persepsi ini perlu diubah.

"Saya menyeru agar lebih ramai golongan belia diberikan peluang dalam barisan kepimpinan kampung. Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf peranan belia dalam membangunkan komuniti dengan idea-idea baharu, inovatif, dan lebih dekat dengan aspirasi generasi masa kini,” beliau berkata dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hafiz turut menegaskan bahawa kombinasi kepimpinan belia dan pengalaman pemimpin lama mampu menghasilkan pentadbiran kampung yang lebih dinamik dan berdaya maju.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan negeri agar meneliti semula kriteria pelantikan Ketua Kampung dan JKKK bagi memberi lebih ruang kepada belia menyumbang dalam pentadbiran kampung.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada pembangunan luar bandar, tetapi juga memperkukuh peranan belia dalam menentukan hala tuju masa depan negeri Sabah,” tambahnya.

Saranan tersebut menurutnya merupakan salah satu usaha memperkasa peranan belia dalam kepimpinan tempatan dan membawa perubahan positif kepada pembangunan kampung-kampung di Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama