UMS-PMWP meterai MoU bangunkan penerbitan ilmiah, ekonomi islam

Coswald (empat dari kiri) dan Jamali bertukar dokumen MoU yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS - ihsan UMS


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah penting memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan kedua-dua pihak.

Kerjasama MoU berkenaan antaranya merangkumi penyelidikan akademik dan penerbitan ilmiah berkaitan isu-isu agama, ekonomi islam, dan pembangunan masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata kolaborasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UMS memperkukuh hubungan dengan institusi-institusi penting dalam negara bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang sedang meniti usia matang, UMS menyedari bahawa tanggungjawab dan sumbangan kami tidak terhad kepada pengajaran di dalam bilik kuliah sahaja.

“Oleh yang demikian, UMS sentiasa berusaha untuk meneroka program-program yang boleh memberikan impak positif terhadap pelbagai aspek kehidupan komuniti setempat.

“Antara contoh, UMS terlibat dalam penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, di mana hasil penyelidikan tersebut boleh menyelesaikan masalah masyarakat, mencipta inovasi, dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri mewakili Naib Canselor UMS dalam upacara penyerahan dan pertukaran dokumen MoU berkenaan, baru-baru ini.

Tambah Kasim, UMS komited untuk menyediakan latihan tambahan, kursus profesional dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat dalam membantu mereka melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri. 

“UMS sangat teruja untuk melangkah setapak ke hadapan dengan memformalkan kerjasama dengan PMWP.

“PMWP merupakan antara jabatan yang diakui memiliki reputasi tinggi di Wilayah Persekutuan atas sumbangan besar terhadap masyarakat Islam khususnya dalam aspek agama dan kebajikan masyarakat secara amnya. 

“Justeru itu, kerjasama ini akan menyatukan kekuatan dan kepakaran UMS dan PMWP dalam bidang masing-masing, dan saya yakin ia akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua institusi kita malahan kepada komuniti,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Mufti Kanan Wilayah Persekutuan, Ahmad Noor Syaiful serta Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama