Sandakan fokus kesejahteraan, kemakmuran ekonomi penduduk - Walter

Tun Musa menerima cenderamata yang disampaikan oleh Walter (kanan) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. 

SANDAKAN:  Pembangunan Daerah Sandakan memfokus kepada kesejahteraan dan kemakmuran dari segi ekonomi serta program-program berimpak positif kepada penduduk.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson berkata beliau yakin Sandakan akan terus berkembang dan taraf sosioekonomi penduduk dapat dipertingkatkan.

"Daerah Sandakan kini sedang membangun dan kehidupan rakyat juga kian bertambah baik.

"Kemajuan yang sedang dikecapi ini adalah juga berkat kerjasama yang erat dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kejayaan ini juga adalah hasil usaha yang berkesan oleh para pemimpin yang ada di daerah ini," ujarnya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Dewan Serbaguna Libaran dekat sini, pada Ahad.

Selain merakamkan ucapan tahniah, Walter turut menyifatkan lawatan Tun Musa ke Sandakan sebagai kehadiran yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat, sekali gus menjadi iltizam khususnya para penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemajuan dan kemakmuran daerah ini.

"Saya selaku Presiden MPS  bersama para penduduk merasa sangat bertuah kerana Sandakan menjadi lokasi kedua yang menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama Tun sejak dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah kesebelas.

"Saya menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa dengan pelantikan Tuan Yang Terutama Tun serta naungan Tuan Yang Terutama Tun, Sandakan akan bertambah maju dan makmur seiring dengan matlamat Sabah Maju Jaya.

"Malah, sumbangan besar Tuan Yang Terutama Tun turut dinikmati oleh seluruh penduduk Sabah termasuklah kami di Daerah Sandakan yang sangat sinonim dengan perjuangan Tuan Yang Terutama kerana di sinilah asas Tun dalam membina perjalanan dunia politik ketika itu," jelasnya.

Pada majlis itu, Tun Musa menyerahkan beberapa sumbangan bersempena dengan bulan Ramadan antaranya, bantuan bakul makanan dan wang tunai sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada 10 orang penerima.

Di samping itu, Tun Musa menyampaikan sumbangan alat siar raya kepada 14 buah masjid dan surau kepada Pegawai Tadbir Agama Sandakan, Rahmin Arman dan menyerahkan replika kunci van jenazah kepada Pengerusi Masjid Batu 12, Sungai Manila.

Turut disampaikan, sumbangan MUIS kepada Badan Dakwah Daerah Sandakan berjumlah RM10,000 serta Bantuan Bulanan dan Ramadan kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf.

Sandakan merupakan daerah kedua, selepas Keningau yang dilawati Tun Musa sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bulan lepas.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama