![]() |
Zahid Hamidi, ketika membuat lawatan di kawasan tebatan banjir Sabah. |
KOTA KINABALU: Kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek rancangan tebatan banjir di Sabah bagi mengatasi dan mengurangkan impak bencana banjir di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, dua projek berkenaan sudah siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period).
Katanya, sebanyak 10 lagi projek tebatan banjir di negeri ini sedang dalam pembinaan, manakala dua lagi dalam fasa pra pelaksanaan.
“Projek berkenaan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta dipantau dengan rapi bagi memastikan projek berkenaan tidak berlaku kelewatan.
“Kerajaan sangat komited untuk memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan, dan mengikut jadual yang ditetapkan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bagi negeri Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir telah dirancang dan dua daripadanya juga telah siap dibina dan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.
Menurutnya, dua lagi projek berkenaan di Sarawak sedang dalam pembinaan dan enam projek adalah dalam fasa pra pelaksanaan.
Sementara itu, katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPS akan merealisasikan pelaksanaan pelan mitigasi jangka panjang termasuklah memanfaatkan AI dan teknologi terkini khususnya dalam pengurusan serta pengurangan risiko bencana.
Katanya, mesyuarat ini juga mengambil maklum isu-isu tindak balas dan bantuan di lapangan yang telah dibangkitkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN).
“Ia termasuklah beberapa penambahbaikan dari segi sokongan kewangan, tenaga kerja dan kakitangan, logistik serta lain-lain aspek teknikal bagi penyelarasan operasi dan mitigasi pengurusan bencana.
“Selain itu, turut dibincangkan juga usaha penyewaan kenderaan oleh JKM bagi penghantaran barangan keperluan ke PPS ketika bencana.
“Kerajaan melalui NADMA akan memperhalusi segala cadangan penambahbaikan yang dikemukakan agensi-agensi melalui JPBN untuk menambahbaik mekanisme pengurusan bencana di Malaysia bersandarkan Arahan NADMA No. 1,” katanya.
Terdahulu, Sabah telah melalui dua episod banjir iaitu pada 17 hingga 20 Januari yang melibatkan tiga daerah, manakala episod kedua pula berlaku pada 27 Januari hingga 16 Februari melibatkan 14 daerah.
Sebanyak 3,120 ketua isi rumah (KIR) yang melibatkan 9,735 mangsa telah dipindahkan ke 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sepanjang tempoh itu.
Bencana banjir di Sabah ini juga telah mengakibatkan kerosakan beberapa infrastruktur awam seperti jambatan-jambatan gantung di daerah Kota Marudu dan Pitas.