Remaja 14 tahun hilang di laut ditemui meninggal dunia



Foto ihsan Bomba

SANDAKAN - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Semawang, Sandakan sejak 15 Februari lalu, ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa dijumpai oleh orang awam sekitar jam 6.30 pagi di pesisir pantai Tanjung Pisau, kira-kira 20 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat itu melibatkan enam anggota bomba bersama aset sebuah kenderaan pacuan empat roda (VIGO) dan bot NADMA.

"Menurut pengadu, mangsa keluar menangkap udang bersama rakan-rakannya pada 15 Februari sekitar jam 5.30 pagi namun tidak pulang sehingga tengah hari.

"Pengadu keluar mencari mangsa dan menemukan botnya di perairan Tanjung Semawang, dengan topi miliknya terapung di permukaan laut," katanya dalam kenyataan.

Penduduk kampung turut menyertai usaha pencarian sebelum pasukan bomba tiba di lokasi bagi mendapatkan maklumat dan melaksanakan operasi SAR.

"Sejurus mangsa ditemui, pasukan bomba menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.50 pagi," ujarnya lagi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama