TAWAU : Seorang kakitangan Mahkamah Syariah Tawau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, semalam, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM400 dua tahun lalu.
Tertuduh, Dahlianah Dahlan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) Gred N22 telah secara rasuah menyetuju terima suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM400 daripada Amzan Bakri melalui seorang wanita.
Tindakan itu sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu dengan menyerahkan Perintah Mahkamah Kes No 12003-099-0462-2022 yang baharu kepada Amzan selepas Mahkamah Syariah membuat pembetulan pada ejaan nama sebenar isteri Amzan daripada Yursiyanti Binti Bacho kepada Yusriani Binti Bacho.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di Jalan Mawar, Kampung Jawa Sentosa dekat sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 4 Januari 2023.
Atas kesalahan itu, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom mencadangkan jaminan RM5,000 berserta beberapa syarat tambahan diberikan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri tiga bulan sekali ke Pejabat SPRM, paspot diserah kepada mahkamah selain dilarang mendekati atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Mac depan.