Program berkhatan beramai-ramai ringankan beban ibubapa

Jasnih  (lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama kanak-kanak yamg terlibat - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


TUARAN : Program berkhatan beramai-ramai dapat membantu meringankan beban keluarga khususnya para ibu bapa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya berkata, program tersebut memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada kanak-kanak yang berkhatan tetapi juga golongan ibu bapa.

"Program ini merupakan salah satu cara kita membantu ataupun memberi sumbangan berupa tenaga kepada keluarga, terutamanya kedua-dua ibu bapa. 

"Sebab kos untuk berkhatan ini bukanlah kos yang rendah dan kalau untuk keluarga biasa, perlu ada janji temu dengan doktor, perlu cari masa. 

"Oleh itu, kita gabungkan ramai anak-anak ini supaya boleh mendapat satu slot di mana kita panggil Kementerian Kesihatan dan juga bomba untuk sekali gus raikan mereka ini.

"Selain itu, manfaat untuk anak-anak pula akan mengurangkan rasa gemuruh yang mana kita lihat sendiri keseronokan itu melebihi rasa gementar apabila mereka ini dikumpul dan sama-sama dimandikan air bomba ini, mereka rasa seronok dan mereka bersedia untuk meneruskan kehidupan di peringkat remaja setelah berkhatan.

"Kita harap dan doa supaya anak-anak ini memahami keperluan kehidupan dan terus bergerak maju mencapai apa juga yang mereka mahukan dalam hidup," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Berkhatan Kanak-kanak Vol. 3.0 Tahun 2025 di Masjid Al-Fattah Kampung Lapasan Telipok di sini, pada Sabtu.

Seramai 32 orang kanak-kanak di kawasan berhampiran turut menyertai program terbabit.

Dalam pada itu, Jasnih yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. menekankan kepentingan tadbir urus masjid khususnya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Kita tidak boleh lari daripada banyak soal kehidupan yang berkait rapat dengan soal-soal agama seperti kes-kes meninggal, jadi masjid adalah satu tempat rujukan. 

"Kalau kita lihat masjid di Kampung Lapasan ini merupakan antara masjid yang sangat aktif dan masjid ini memerlukan sebuah van untuk pengurusan jenazah di kampung dan kita akan usahakan kerana ia menjurus kepada keperluan sejagat di kampung.

"Sangat penting bila kita ada satu organisasi masjid yang berkesan dan saya tekankan lagi di masjid ini kita kurangkan politiknya tapi lebihkan objektif untuk membantu rakyat di sekeliling," tambah beliau.

Hadir sama Pengerusi Masjid Al-Fattah Matlan Taman dan Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pantai Dalit, Irwandie Matshah.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama