150 peserta sertai Khatan Perdana di Masjid Jamek Kampung Likas

Ariffin bersama peserta berkhatan di Masjid Jamek Kampung Likas pada Sabtu.


KOTA KINABALU – Seramai 150 peserta menyertai Program Khatan Perdana yang berlangsung di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini hari ini.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif KPKT Prihatin Madani yang dianjurkan oleh Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama komuniti Masjid Jamek Kampung Likas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, menyatakan bahawa program ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat, sekali gus mencerminkan kepentingan aktiviti kesihatan komuniti seperti ini.

"Program ini sangat berjaya dan mendapat tempat di hati masyarakat. Selain khatan perdana, ia turut merangkumi pelbagai aktiviti lain seperti saringan kesihatan.

"Saya difahamkan program ini telah dijalankan sejak tahun 2022, dan sehingga kini lebih 150 program komuniti telah dilaksanakan oleh Hospital UMS di seluruh daerah," katanya kepada media sewaktu ditemui di Masjid Jamek Likas.

Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar, tetapi juga menjadi platform kepada UMS untuk menyampaikan maklumat berkaitan pendidikan dan peluang pembelajaran kepada anak-anak Sabah.

Selain UMS, program itu turut mendapat sokongan Smart Sabah Corporation, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Negeri Sabah.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, berkata pihaknya komited membantu menjayakan program ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Sebagai sebuah syarikat GLC, ini adalah antara usaha kami untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam proses berkhatan.

"Tahun ini, kita menyaksikan penyertaan terbesar dengan 150 peserta, jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak program ini dianjurkan," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa program ini akan diteruskan setiap tahun bagi memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga di Sabah

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama