KUNAK: Seorang wanita warga emas ditemui maut dipercayai diserang anjing liar di Terminal Bas Kunak, di sini, Sabtu lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa berusia lingkungan 60-an itu dipercayai diserang kira-kira 11 ekor anjing, kira-kira jam 1.49 pagi.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 6.30 pagi hari yang sama.
Katanya, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak diarah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal terhadap penemuan mayat mangsa.
“Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di bahagian tangan kiri, kepala, dada kanan, kedua-dua bahagian pinggang dan kedua-dua kaki mangsa.
“hasil semakan CCTV mendapati mangsa telah diserang sekumpulan anjing kira-kira 11 ekor pada 1.49 pagi, Sabtu lalu, sehingga mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan berasal dari Kunak.
“Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Kredit: Utusan Borneo