![]() |
Tangkap layar laporan berita suspek yang melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan berjaya ditahan polis pada 19 Januari lalu. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan keatas pemandu yang sebelum ini melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan, 19 Januari lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, selepas tertuduh, Zulfikar Zul Akmat, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bukan warganegara Malaysia didapati tiada memiliki apa-apa pas yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Vietnam Tanjung Batu, di sini, jam 7 malam pada 19 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dihukum sebat tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesalahan di bawah akta imigresen kerap berlaku di daerah ini.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu terbabit dalam kemalangan apabila Proton Gen-2 yang dipandunya bersama tiga penumpang hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Mawar Kampung Jawa, pada awal pagi, 19 Januari lalu.
Dia yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun bertindak melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diketuai Asisten Superintendan Joan Lee di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, jam 7 malam, hari sama.