Warga emas cabul budak perempuan dipenjara 7 tahun, 2 sebatan

Tertuduh, Roberto Sairal, 59, dihukum penjara 7 tahun dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah lakukan amang seksual fizikal.

TAWAU : Tindakan seorang lelaki warga emas melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun membawa padah apabila terpaksa meringkuk di penjara selama 7 tahun dan dikenakan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh Roberto Sairal, 59, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkuatkuasa tarikh tangkapan iaitu pada 24 Disember 2024.

Selain itu, tertuduh dikehendaki mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain menjalani perintah pengawasan polis selama tempoh tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun itu dengan cara meraba payu dara dan memegang perut kanak-kanak tersebut.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama