Terpulang mana-mana parti nasional mahu bertanding PRN17, rakyat Sabah akan buat pilihan - Masidi

Masidi, ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 Affin Bank bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa tidak ada sebarang halangan kepada mana-mana parti politik khususnya parti nasional untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang. 

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Malaysia merupakan negara yang mengamalkan demokrasi dan rakyat berhak untuk membuat sebarang pilihan untuk memilih parti atau pemimpin yang dikehendaki. 

"Dipersilakan (untuk parti nasional bertanding dalam PRN Sabah). Kita tidak ada halangan. Negara ini, termasuk negeri ini mengamalkan demokrasi. Siapa-siapa sahaja, saya juga boleh bertanding termasuk di kawasan saya sendiri.

"Lagipun ini cuma pertandingan pilihan rakyat. Bukan bertanding untuk bertumbuk. Kita di Sabah ini tidak melihat saingan politik ini sebagai sesuatu yang peribadi.

"Kita boleh berbeza dari segi amalan politik. Budaya kita tidak pernah mengutuk orang lain. Kita laksanakan dan praktikan politik kita secara berhemah, secara (menerusi) persahabatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 Affin Bank bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan bertanding 18 kerusi pada PRN17 Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama