Sipitang perkukuh ekonomi biru, tingkatkan sosioekonomi nelayan tradisi

Matbali ditemubual selepas merasmikan upacara Pesta Tanglung di Tokong Vie Hun, Sipitang pada petang Sabtu.

SIPITANG – Daerah Sipitang terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh sektor ekonomi biru melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan tradisi.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata meskipun hasil tangkapan ikan di daerah itu tidak setanding kawasan pantai timur, utara, atau barat Sabah, Sipitang tetap menjadi penyumbang penting dalam sektor ekonomi biru.

Menurut Matbali, terdapat seramai 468 nelayan di Sipitang, termasuk kru dan pemilik lesen, manakala Beaufort pula mencatatkan 233 nelayan berdaftar.

“Kebanyakan nelayan di Sipitang ini adalah nelayan tradisi. Walaupun hasil tangkapan tidak setanding daerah lain, kita tetap memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sektor ini,” katanya sewaktu ditemubual selepas merasmikan upacara Pesta Tanglung di Tokong Vie Hun, Sipitang pada petang Sabtu.

Sebagai usaha meningkatkan pendapatan nelayan, Jabatan Perikanan telah melabuhkan tukun tiruan berskala besar di beberapa perairan sekitar Sipitang.

Ujarnya, sebanyak 20 tukun dilabuhkan pada tahun 2011 dan 2017 di Laut Sipitang, manakala 50 tukun lagi ditambah di Laut Pelakat pada tahun 2024.

“Ini menunjukkan komitmen Jabatan Perikanan dalam meningkatkan sosioekonomi biru di daerah ini,” jelas Datuk Matbali.

Selain itu, Jabatan Perikanan turut menyediakan bantuan unjam atau rawa-rawa kepada lapan nelayan pada tahun lalu sebagai inisiatif menambah pendapatan mereka.

“Bantuan ini adalah bukti progres terbaik dengan kolaborasi pihak Jabatan Perikanan amat penting untuk memastikan kehidupan para nelayan terus terjamin,” tambah beliau.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi ekonomi biru untuk pembangunan lestari dan memastikan komuniti nelayan dapat menikmati kesejahteraan jangka panjang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama