![]() |
Foto ihsan Bomba |
KINABATANGAN – Sembilan pekerja ladang dikejarkan ke hospital selepas terhidu racun serangga semasa menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di Ladang Sentosa Sime Darby, Kinabatangan,di sini pagi tadi.
Kesemua mangsa dimaklumkan terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 sewaktu menjalankan aktiviti berkenaan pada jam 9.00 pagi di ladang yang berkeluasan 20 ekar.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Azlan Shah Jamalludin melalui satu kenyataan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3:11 petang.
Pasukan bomba dari BBP Kinabatangan dengan kekuatan 6 anggota dan Pakar Bahan Berbahaya (Hazmat) digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba beberapa jam kemudian.
"Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk rawatan lanjut," katanya.
Pihak bomba bertindak menutup kawasan kejadian dan memasang sawar-sawar keselamatan untuk mengelakkan sebarang risiko.
"Operasi terkawal sepenuhnya pada jam 5.30 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," ujarnya.