Seminar Pemikiran Tun Mustapha Mac Ini - Arifin

Arifin semasa ditemui media - ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Seminar Pemikiran Tun Mustapha akan dianjurkan secara kolaborasi oleh agensi-agensi agama di Sabah, Mac ini.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, seminar itu akan membincangkan cara pemikiran Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama, Tun Mustapha Datu Harun dalam beberapa aspek yang membawa negeri Sabah kepada kemerdekaan dan juga pembangunan.

"Pada tahun ini, kita akan menganjurkan satu seminar pemikiran Tun Mustafa yang akan diselaraskan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Negeri Sabah (JHEAINS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

"Insya-Allah kita akan adakan untuk meneliti atau untuk mengupas pemikiran-pemikiran Tun Mustafa dalam bidang pendidikan, ekonomi, perpaduan dan syiar agama.

"Saya telah minta kepada JHEAINS, MUIS dan USIA untuk mengadakannya dan kita mungkin akan adakan pada bulan Mac bersama-sama dengan ABIM," katanya semasa Majlis Haul Ke-30 tahun Allahyarham Tun Mustapha, pada Khamis.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan bacaan tahlil pimpinan Imam Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting serta bacaan doa oleh Mufti Sabah, Datuk Bungsu@ Aziz Jaafar.

Hadir sama, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah JHEIANS Datuk Jumain Abdul Ghani, dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM) Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais.



( JABATAN PENERANGAN SABAH )





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama