![]() |
Siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dari arah Kota Kinabalu menuju ke Bandar Sierra. |
KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan berhampiran Kampung Tebobon, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa berusia lingkungan 13 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dari arah Kota Kinabalu menuju ke Bandar Sierra.
“Namun, mangsa dikatakan berlari melintas jalan secara tiba-tiba dan pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.
“Mangsa tercampak ke tepi kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat msngikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kasim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Pejalan kaki turut dinasihatkan supaya sentiasa melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas,” katanya.