![]() |
Motosikal mangsa dan lori yang melawan arus |
SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori dipandu melawan arus dalam kejadian di Jalan Sungai Batang 10, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian kemalangan ini.
Katanya, pasukan polis mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dirempuh oleh lori yang dipandu lelaki berusia 47 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergerak dari arah Sibuga Besar menuju ke lampu isyarat Batu 10 iaitu jalan sehala dua lorong.
“Namun sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa telah dirempuh oleh sebuah lori dari arah bertentangan yang dipandu secara melawan arus,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Abdul Fuad berkata, akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori terbabit mengalami kecederaan ringan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK), manakala pemandu loti terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.