Pendidikan digital perlu seiring dengan perkembangan global - Arifin

 

Arifin (tiga dari kiri) diiringi Azman (dua dari kiri) menyampaikan kit peranti tablet kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Tenom - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU: Pembangunan pendidikan digital negara perlu seiring dengan perkembangan teknologi digital pada peringkat global dan nasional.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, pemberian peranti atau tablet menjadi medium utama dalam pelaksanaan Home Smart Schooling.

"Kaedah penggunaan peranti ini mampu memberi semangat kepada murid untuk belajar di samping meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi digital.

"Pemberian peranti memberi manfaat kepada murid membuat carian pembelajaran menerusi aplikasi tersedia dan juga aplikasi lain seperti YouTube dan Tik Tok. Cabaran murid ialah dengan mengawal diri dalam penggunaan teknologi digital.

"Murid perlu bijak membahagikan masa dan mengawal penggunaan peranti dan keselamatan data peribadi perlu dilindungi dan tidak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik sehingga menjadi mangsa jenayah komersil.

"Kerajaan bersedia dan berusaha melakukan perubahan dengan transformasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan kemajuan landskap pendidikan negara," katanya ketika berucap di Majlis Penyempurnaan Penyerahan Kit Peranti Bagi Program Anak kita SPM 2025, pada Selasa.

Menurut Arifin, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan dalam usaha mencapai hasrat negara maju dengan perkembangan teknologi digital khususnya dalam sektor pendidikan.

"Inisiatif-inisiatif yang diambil merangkumi menambah baik kemudahan infrastruktur Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK), menyediakan sumber pendidikan dan aplikasi yang pelbagai berteraskan teknologi digital bagi mengupayakan pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada murid dan guru. Inisiatif Ini adalah untuk melahirkan generasi yang fasih digital.

"Meskipun teknologi terus berkembang pesat dan sememangnya ia memberi manfaat kepada pembangunan negara namun kebergantungan kepada teknologi dalam bidang pendidikan boleh menghakis keaslian idea, membantutkan cara berfikir dengan kritis dan mengurangkan keupayaan penyelesaian masalah.

"Oleh itu, keseimbangan perlu ada dalam penggunaan teknologi digital," tambahnya.

Ujar beliau, kerajaan akan turut memberi fokus berhubung usaha dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris.

"Kerajaan negeri akan mendukung usaha ini, di samping memberikan fokus kepada beberapa perkara seperti yang disebut oleh yang berbahagia Ketua Pengarah tadi, kita fokus berhubung dengan usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris, ini kita akan buat pada tahun ini melalui acuan kita sendiri di Sabah.

"Kemudian STEM yang disebutkan oleh beliau tadi, ini juga kita dokong dan kita mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membantu memperkasa STEM termasuk di sekolah-sekolah, termasuk TVET dan yang lain berhubung dengan keperluan kita untuk mendukung dan memperkasa tadika atau prasekolah, jelasnya.

Seramai 1833 pelajar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 49 buah sekolah menengah terpilih untuk menerima manfaat peranti tersebut.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Kewangan, Unit Pantau Madani, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Hasanah serta Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI).

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin serta Projek Koordinator Program Anak Kita SPM 2025, Dr Omar Firdaus Mohd Said.




( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama