TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM200,000 terhadap dua lelaki selepas mengaku bersalah memiliki tenggiling haiwan yang dilindungi.
Tertuduh Azlan, 34, dan Artan Asrianto, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan oleh juru Bahasa mahkamah.
Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki empat ekor disyaki spesis tenggiling hidup dari spesies Manis Javanica di kawasan tempat meletakkan kenderaan di hadapan sebuah premis di Batu 2, Jalan Bubul, Semporna, pada jam 11.40 pagi, 4 Januari lepas.
Haiwan itu adalah spesis yang dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.
Jika disabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.
Ahmad Faizadh turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.