![]() |
Susulan demam babi Afrika(ASF) di Keningau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Keningau telah melaksanakan pelupusan dan kawalan pergerakan babi di ladang tersebut. |
KOTA KINABALU: Keningau telah diisytiharkan semula sebagai zon merah susulan demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di daerah terbabit pada 7 Januari yang lepas.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata penularan virus tersebut melibatkan seorang penternak babi kampung yang dipelihara di belakang rumahnya.
Mengulas lanjut, katanya virus ASF itu telah menjejaskan sebanyak 12 daripada 20 ekor babi yang dipelihara penternak babi berkenaan.
Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Keningau telah melaksanakan pelupusan dan kawalan pergerakan babi di ladang tersebut.
"Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (zon pemulihan) kepada zon merah (zon terjangkit).
"Berdasarkan siasatan lapangan, ternakan babi tersebut menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati. Sampel telah diambil, diuji dan keputusan makmal adalah positif terhadap penyakit ASF." katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya menerusi DVS telah mengambil beberapa langkah yang selaras di bawah Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015.
Ini termasuk sekatan kawalan pergerakan babi dan produk babi daripada daerah Keningau disamping servalens aktif dan pasif juga dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular.
"Para penternak dinasihatkan untuk mempertingkat biosekuriti ladang dan kandang menternak, dilarang memberi sisa buangan dapur tidak dimasak semula kepada ternakan babi dan melawat kandang atau ladang yang berpenyakit
"Penternak dinasihatkan tidak membeli babi hidup ataupun daging babi daripada sumber yang tidak diketahui tahap kesihatan ternakannya," katanya.
Jeffrey turut berkata golongan penternak dan pengusaha ladang babi dinasihatkan untuk melaporkan kejadian babi sakit atau mati berterusan kepada mana-mana pejabat DVS terdekat untuk tindakan segera.
Menurutnya, langkah terbabit harus diambil agar penyakit ASF dapat dibendung dengan kadar segera.
Disamping itu, beliau turut mengesahkan tiada kes baharu dikesan pada babi hutan.
Katanya, semua ladang babi komersil di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang juga masih bebas daripada penyakit ASF.