KUNAK : Jabatan Air Kunak mengesan kegiatan penyambungan air secara haram di Jalan JKR Lama, dekat sini hari ini menerusi Ops Lampau, bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.
Pegawai Kerja Air Daerah Kunak, Mohd. Shuaizan Mohd Yunus berkata, dalam operasi itu pihaknya mengesan tiga sambungan lama kegiatan mencuri air daripada paip utama bersaiz empat inci yang disalurkan secara terus ke paip milik pengguna secara haram.
"Susulan itu, sepasukan anggota Penguatkuasa Jabatan Air Kunak hari ini membuat operasi pemotongan membabitkan kes kecurian di lokasi berkenaan.
"Kita sedang giat mengesan pengguna atau individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri air di daerah ini untuk tindakan lanjut termasuk dihadapkan ke mahkamah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, mengambil air daripada mana-mana sistem bekalan air yang menyalahi undang-undang (penyambungan haram) adalah satu kesalahan serius.
"Mana-mana pihak atau individu yang didapati melakukan kegiatan mencuri air secara haram boleh didakwa mengikut Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai supaya tampil membuat aduan atau menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencuri air atau penyambungan haram dengan menghubungi careline Jabatan Air Negeri Sabah di talian 088-326888.