![]() |
Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan - Foto ihsan Bomba |
KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terkunci di Jalan Bukit Temasu, Taman Sinar, pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi laporan diterima Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melalui panggilan kecemasan di talian MERS999 pada jam 10.03 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, yang terdiri daripada empat anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 10.11 pagi.
"Sebuah kereta jenis Perodua Viva terkunci dengan seorang mangsa berada di dalamnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan tersebut," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.22 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi," ujarnya.