GRS letak calon di DUN Usukan PRN17

Datuk Nizam (kiri) bersama Datuk Japlin Akim (kanan)

KOTA BELUD: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.   

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, GRS paling layak dan sesuai untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, Gagasan Rakyat akan berusaha bagi memastikan DUN Usukan menjadi milik GRS pada PRN Sabah akan datang supaya nasib rakyat di kawasan ini terus terbela. 

“Gagasan Rakyat Usukan sudah membuat semua persiapan, malah jentera kita juga tidak akan berundur sehingga GRS mendapat mandat di kawasan ini.

“Pencapaian kerajaan negeri ketika ini sangat cemerlang dan rakyat di DUN Usukan perlu menyokong calon yang diletakkan oleh GRS demi pembangunan serta kebajikan rakyat di sini,” katanya.

Beliau berkata dalam Program Seminar Solidariti Mendepani PRN 17 di sini. Turut hadir Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. 

Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah menunjukkan keupayaannya membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, ketika parti Parti Warisan (WARISAN) menerajui kerajaan Sabah selama dua tahun iaitu dari 2018 hingga 2020 dilihat gagal membawa pembangunan kepada negeri ini.

“Apa juga yang dibuat oleh GRS... WARISAN akan ‘Tuntut’ itu saja usaha mereka. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.

“Hal ini kerana, Ketua Menteri sekarang banyak buat pembaharuan untuk kemajuan dan kesejahteraan serta memacu masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, rakyat diingatkan supaya tidak mudah terperdaya kata-kata manis pembangkang kerana  mereka hanya tahu berbohong serta berjanji di sana sini.

“Yakinlah politik Sabah kini semakin stabil, sewajarnya rakyat terus memberikan mandat kepada GRS yang dipimpin Ketua Menteri untuk terus menerajui kerajaan demi kesejahteraan kepada semua,” katanya.

Dalam majlis itu, Japlin menerima lima kerusi roda daripada Pengerusi Biro Kesihatan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus Majihi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama