Lebih 5,000 orang sertai KK Cleanup Day 1.0 DBKK

Sabin (tengah) bersama Chan (dua dari kanan) ketika bersama mengikuti sesi senamrobik sebelum bermulanya pembersihan di sekitar DBKK - ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU : Lebih 5,000 orang menyertai Program KK Cleanup Day 1.0 Bandaraya Kinabalu (DBKK) bagi memastikan Kota Kinabalu menjadi sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan mampan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata program tersebut bukan sekadar sebuah program tetapi satu manifestasi kepada nilai dan tanggungjawab sebagai sebagai warga bandaraya.

"Pada pagi ini DBKK telah mengadakan KK Cleanup Day 1.0 sempena sambutan ulang tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu.

"Oleh itu, pada hari ini kita memperkukuhkan usaha kebersihan dengan menumpukan kepada empat komponen utama iaitu pembersihan kawasan awam, pasar awam, sampah terapung di laut dan kawasan kepulauan.

"Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada yang terlibat dalam program ini termasuklah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, para pemimpin komuniti, persatuan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sukarelawan yang menjadi nadi penggerak utama program ini.

Antara bot yang terlibat dalam program  KK Cleanup Day 1.0 DBKK - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


"Program ini telah menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan sebagai contoh tahun lalu sahaja sebanyak 221 tan sampah telah berjaya dilupuskan dari kawasan kepulauan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar," katanya ketika merasmikan Program Cleanup Day 1.0 DBKK di Segama Waterfront pada Sabtu.

Sabin turut menjelaskan DBKK telah memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu program Cabaran 'Kampungku Bersih' yang bertujuan menyemarakkan semangat komuniti dengan memperkenalkan elemen persaingan sihat.

"Manakala Program Upcycle@Recology pula membawa pendekatan kreatif terhadap pengurusan sisa pepejal di Bandaraya Kota Kinabalu.

"Saya ingin menyeru kepada semua pihak sama ada individu mahupun organisasi untuk berganding bahu dalam menjayakan misi kebersihan ini.

"Mulakan dengan langkah yang kecil seperti memastikan persekitaran rumah bersih, buang sampah dengan betul dan mengamalkan kitar semula, saya percaya dengan langkah kecil ini jika dilakukan secara konsisten mampu memberi impak yang besar kepada bandaraya kita," ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Chan Foong Hin, Ketua Pengarah DBKK, Sr Lifred Wong, Pengerusi Puspanita Cawangan Kota Kinabalu, Datin Seri Adreen Aderizza Mohamad Soffi dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Robert Lipon.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama