TAWAU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) disaran supaya membuat penambahan guru dan pembaikan fasiliti bagi Tabika Perpaduan di daerah ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata ia bagi memastikan kualiti pendidikan awal di daerah ini lebih baik dan selesa.
Katanya, bilangan murid yang mendaftar di pusat ini bertambah setiap tahun, namun tenaga pengajarnya masih kekal dalam jumlah yang sama.
“Saya mendapati jumlah guru sedia ada tidak mencukupi bagi menampung bilangan murid yang semakin meningkat dan ia memberi bebanan tugas kepada guru Tabika Perpaduan di daerah ini.
“Keadaan ini dilihat boleh menjejaskan perhatian dan tumpuan guru-guru dalam sesi pengajaran kerana mereka terpaksa mengurus bilangan murid yang ramai,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan peringkat Daerah Tawau, semalam.
Selain itu, katanya, Tabika Perpaduan juga berdepan dengan isu fasiliti yang usang dan kekurangan bahan pembelajaran.
Suryady berkata, isu fasiliti di premis Tabika Perpaduan perlu diberikan perhatian kerana ia membabitkan keselamatan dan keselesaan murid.
“Saya telah melakukan lawatan ke beberapa Tabika Perpaduan yang ada di daerah Tawau dan mendapati ada yang sudah kritikal serta perlu pembaikan segera.
“Kita juga telah membantu bagi memastikan masalah fasiliti ini dapat dikurangkan, namun untuk pembaikan menyeluruh perlunya juga peruntukan daripada Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.
Mengulas mengenai majlis ini, katanya, ia adalah program tahunan untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid pendidikan awal yang berjaya menamatkan persekolahan.
“Saya sangat menyokong usaha Tabika Perpaduan di daerah Tawau dan berharap murid-murid yang dirai ini menjadi modal insan kepada negara pada masa akan datang.
“Kita juga berharap keterlibatan ibu bapa bagi memastikan proses membentuk kanak-kanak ini tidak diletakkan di bahu guru-guru semata-mata,” katanya.