SIPITANG: Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) bakal menjadi pusat pembangunan ekonomi utama di Sabah apabila menerima pelaburan berimpak tinggi yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan utama termasuk projek kilang keluli hijau (Green Steel) oleh Syarikat Esteel dengan pelaburan berfasa bernilai RM20 bilion dan pembangunan kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Terapung oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bernilai RM8.8 bilion.
"Semua syarikat yang saya sebut itu akan mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027. Semua pelaburan ini akan mencipta peluang pekerjaan seawal di fasa pembinaan dan semasa beroperasi. Sudah tentu penduduk Sipitang dan sekitarnya akan mendapat limpahan dalam pelbagai sektor ekonomi.
"Saya penuh yakin dengan gabungan pemimpin politik, jentera kerajaan serta rakyat di Sipitang, kita akan melakarkan lebih banyak pembangunan dan kejayaan di daerah ini", katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Makanan Tradisi Sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di Padang Top Ten di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif.
Hajiji turut menyatakan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap pentadbiran negeri Sabah yang stabil dan berwawasan.
Menurut beliau, Sabah telah menarik pelaburan bernilai RM1.7 bilion pada tahun ini, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri.
Sementara itu, Hajiji turut menyeru agar sektor pelancongan di Sipitang terus diperkasakan. Kedudukan strategik Sipitang yang berdekatan dengan Brunei, Kalimantan, Sarawak, dan Labuan menjadikannya pintu masuk utama pelancong menggunakan jalan darat.
“Sipitang yang cukup terkenal dengan sataynya merupakan laluan masuk utama pelancong dari Brunei dan Sarawak menggunakan jalan darat,” ujarnya.
Di samping itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa Kerajaan komited dalam memelihara budaya tempatan.
"Di Negeri Sabah, kita berbangga dengan kepelbagaian budaya yang ada daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik, menjadikan negeri ini unik dan kaya dengan pelbagai tradisi serta adat resam. Bagi terus memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan pada tahun hadapan.
"Ini untuk memastikan warisan budaya dan keseniaan negeri ini terus kekal dan terpelihara. Selain untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, juga bagi memastikan khazanah ini dapat dinikmati generasi masa kini dan akan datang", tambahnya.
Hajiji turut menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam setiap perancangan yang dirangka, khususnya bagi meningkatkan taraf kehidupan ekonomi dan sosial masyarakat.
Malah, beliau menjelaskan bahawa pelbagai program, inisiatif, dan bantuan telah disediakan untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan miskin, miskin tegar, serta pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah, dan institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan sebanyak 20 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dan jumlah ini akan dinaikkan kepada 40 unit pada tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta.