Lelaki pukul kakak hingga cedera berjaya ditahan


TAWAU:  Gara-gara gagal tahan amarah, seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul kakaknya hingga cedera di kawasan Hospital Tawau, di sini, semalam. 

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Jalan Utara Baru, di sini selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Tawau. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya.

"Hasil siasatan awal, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan kakaknya iaitu mangsa kerana menghalau isterinya dari wad hospital. 

"Difahamkan ketika itu mangsa mahu menukar pakaian ayahnya yang ditahan di wad berkenaan, katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. 

Susulan itu, katanya, suspek bertindak agresif dengan menarik tudung dan menolak mangsa ke dinding menggunakan siku.

"Mangsa juga dipukul bertubi-tibi oleh suspek sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan. 

"Kejadian itu kemudian ditangani oleh pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan, katanya. 

Jasmin berkata, pihaknya  dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau terus menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Utara, di sini. 

"Suspek kemudian berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut," katanya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama