Lelaki ditemui tidak sempurna disyaki dibaham buaya


SEMPORNA: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dan mengerikan dipercayai dibaham buaya di Sungai Pegagau, di sini, petang tadi.

Mayat, Hadun, 40, ditemui oleh orang awam pada jam 4.30 petang kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.43 petang daripada orang awam mengenai penemuan mayat terbabit.

“Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengambil mayat berkenaan.

“Pasukan bomba terus mengambil mayat terbabit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, operasi ditangguhkan pada jam 6.31 malam tadi dan disambung hari esok untuk mencari sebahagian anggota badan mangsa.

Madzlan berkata, sebelum ini, pihaknya menerima panggilan berhubung seorang lelaki dikhuatiri hilang di sungai ketika pulang dari memancing.

“Kami menerima maklumat bahawa mangsa dalam perjalanan pulang seorang diri menggunakan perahu, semalam sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama