DAP Sabah gesa siasatan telus, hargai tindakan Ketua Menteri pertahankan sumber mineral Sabah

Vivian Wong.

KOTA KINABALU: DAP Sabah menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi keutamaan terhadap siasatan dakwaan skandal rasuah yang mengaitkan beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.

Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong berkata pihaknya memantau teliti perkembangan kes terbabit sejak beberapa rakaman klip video berkaitan perkara terbabit ditularkan sebuah portal berita tempatan sejak bulan lepas.

DAP Sabah menyokong penuh SPRM dalam menjalankan siasatan yang teliti dan saksama.

"Kami menggesa SPRM untuk mengutamakan kes ini dan memastikan ia dikendalikan dengan ketelusan dan integriti," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Menurutnya, sumber sumber mineral adalah aset berharga milik rakyat Sabah dan generasi akan datang.

"DAP secara konsisten memperjuangkan keutamaan sumber mineral Sabah untuk industri hiliran untuk memaksimumkan nilainya.

"Komitmen ini terbukti dalam usaha Pengerusi DAP Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan kami, Datuk Phoong Jin Zhe.

"Kami mengiktiraf dan menghargai tindakan tegas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan tiada lesen melombong dikeluarkan. Sungguh melegakan bahawa sejumlah besar sumber asli telah diperoleh untuk manfaat Sabah.

"Bagaimanapun, pendirian kami tetap teguh dimana DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan menentang rasuah dalam apa juga bentuk dan percaya kepada keadilan penyiasatan yang adil," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama