Saksi pendakwaan ke-17 itu dalam pernyataan bertulisnya memaklumkan kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac ketika bangun untuk pergi sahur dia ada singgah di bilik 7 Belian dan mengejutkan mangsa untuk bersahur.
Bagaiamanapun katanya, sewaktu mengejutkan mangsa dengan cara mengoyangkan badannya, Mohamad Nazmie (si mati) tidak bangun dan beranggapan dia masih tidur sebelum mengejutkan penghuni bilik yang lain untuk bersahur.
'Selepas saya kejutkan yang lain saya terus ke dewan makan untuk bersahur dan selepas itu terus balik ke bilik 5 Belian untuk bersiap pergi ke kolej,"
Bagaimanapun saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Jhesseny Kang, memaklumkan dia tidak membuat pemeriksaan keatas si mati sewaktu mengejutkannya untuk bersahur kerana beranggapan si mati masih tidur selain mendengar dengkuran ketika itu.
Saksi itu juga memberitahu dia tidak pasti sama ada terdapat cikgu atau warden yang bertugas pada masa itu namun bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa walaupun bukan exco asrama tetapi sebagai penghuni adalah menjadi kewajipan untuk laporkan kejadian yang berlaku di 5 belian kepada warden atau cikgu.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-18 turut memaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif semasa sesi pemeriksaan utama bahawa Mohamad Nazmie tidak memberikan sebarang respon ketika ditemukan tidur di bilik 7 Belian kira-jam 5 pagi pada 22 Mac.
Menurutnya, mangsa tidak pernah dilihat tidur di bilik 7 Belian sebelum ini kerana dia adalah penghuni bilik 7 Resak.
Katanya, Mohamad Nazmie dalam keadaan terbaring dan berselimut namun tidak memberikan sebarang respon serta tidak bergerak langsung ketika dikejutkan oleh tertuduh ke-11 pada waktu itu.
Dalam pada itu, bilik bicara mahkamah bertukar hiba seketika apabila kesemua tertuduh itu tidak dapat menahan sebak sewaktu saksi ke-18 itu memeluk setiap daripada mereka sejurus selesai memberi keterangan.
Saksi itu juga sempat memberi kata-kata semangat kepada mereka dan berkata "Aku doakan kamu."
Prosiding perbicaraan hari kelapan hari ini membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam pada 21 Mac hingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.